Skuad bola sepak wanita negara (Malayan Tigress) kendalian Soleen Al-Zoubi secara rasminya akan menyertai siri Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Taif, Arab Saudi dari 18 hingga 30 September 2023.

Kejohanan Women’s International Friendly anjuran Konfederasi Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) akan menampilkan lima lagi pasukan iaitu Laos, Pakistan, Bhutan, Lebanon dan tuan rumah, Arab Saudi.

Enam pasukan bertanding ini telah diundi ke dalam dua kumpulan berdasarkan ranking pasukan di mana Kumpulan A terdiri daripada Malaysia yang kini di ranking ke-89 dunia, Arab Saudi di kedudukan ke-170 dan Pakistan ke-157 dunia manakala di kumpulan B pula menyaksikan Laos yang di ranking ke-87 dunia bersama Lebanon di kedudukan ke-138 dan Bhutan ke-171 dunia.

Menurut Soleen, Kejohanan Women’s International Friendly akan membuka peluang buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjalinkan hubungan strategik bersama SAFF.

“Jika kita lihat kepada ranking kesemua pasukan bertanding, ia dapat memberi faedah kepada pelan jangka panjang skuad bola sepak wanita kebangsaan dari aspek teknikal serta memberi peluang untuk mereka beraksi di dalam persekitaran yang berprestasi tinggi.

“Selain itu, kita juga boleh mengadakan program pertukaran sebagai inisiatif pembangunan pemain selain mempersiapkan barisan pemain kebangsaan ini untuk perlawanan-perlawanan antarabangsa di masa hadapan,” kata Soleen.

Soleen Al-Zou’bi
Sumber Gambar: AFC

Berdasarkan format perlawanan membabitkan enam pasukan ini, saingan kumpulan akan berlangsung secara liga sepusingan yang mana dua pasukan teratas layak ke separuh akhir pada Rabu, 27 September 2023.

Seterusnya, dua pasukan yang menang akan bertemu di Final manakala dua pasukan yang tewas akan beraksi perlawanan penentuan tempat ketiga pada Ahad, 30 September 2023.